Wednesday, 29, October, 2025
Utama Nasional PM arah bantuan segera kepada dua anggota trafik cedera ketika iringi delegasi ASEAN

PM arah bantuan segera kepada dua anggota trafik cedera ketika iringi delegasi ASEAN

oleh Ammar Haziq

HULU SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap dua anggota trafik yang cedera ketika menjalankan tugas mengiringi delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini, serta mengarahkan agar bantuan segera disalurkan kepada mereka.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau mewakili Perdana Menteri untuk menyampaikan sumbangan dan menzahirkan penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan kedua-dua anggota berkenaan.

“Sebaik menerima laporan mengenai kejadian, Perdana Menteri terus mengarahkan saya untuk segera menyalurkan bantuan dan menyampaikan kata-kata semangat kepada mereka. Ini sebagai tanda penghargaan atas khidmat cemerlang pasukan keselamatan yang memastikan kelancaran Sidang Kemuncak ASEAN,” katanya selepas mengadakan lawatan kebajikan kepada dua anggota berkenaan masing-masing di Puchong dan Hulu Selangor.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri, Omar Mokhtar.

Menurut Shamsul Iskandar, bantuan tersebut turut bertujuan meringankan beban keluarga anggota terbabit yang turut terkesan akibat kecederaan dialami mereka.

“Perdana Menteri mengarahkan agar sumbangan segera diberikan kerana tugas yang mereka laksanakan amat penting demi keselamatan, selain berdepan risiko tinggi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota keselamatan atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang sidang kemuncak ASEAN berlangsung.

Dalam kejadian pertama Sabtu lalu, Koperal Kamarul Suari, 35, cedera selepas motosikal Kawasaki GTR milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditungganginya dilanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Kilometer 22.3 susur keluar Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara, Lebuhraya Elite.

Ketika kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Kamarul yang bertugas di Cawangan Kawalan Lalu Lintas JSPT Kuala Lumpur mengalami patah betis kiri, cedera di pergelangan kaki serta lutut kiri, dan kini menerima rawatan di Hospital Cyberjaya.

Sementara itu, dalam kejadian kedua Ahad lalu, Lans Koperal Muhammad Danial Mohd Nadzri, 25, cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Razak berhampiran susur keluar Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur.

Muhammad Danial yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya ketika itu sedang mengiringi delegasi dari Brazil yang dalam perjalanan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN sebelum motosikalnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta yang berhenti secara tiba-tiba.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan turut hadir menyampaikan bantuan kepada kedua-dua anggotanya sebagai tanda sokongan dan dorongan moral agar mereka cepat sembuh dan kembali bertugas.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com