Thursday, 30, October, 2025
Utama Nasional Anwar angkat ASEAN jadi kuasa penting serantau – Setiausaha Agung

Anwar angkat ASEAN jadi kuasa penting serantau – Setiausaha Agung

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjaya menjadikan ASEAN sebagai tonggak perpaduan serantau di rantau Indo-Pasifik, kata Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn.

Beliau berkata, pendekatan Malaysia yang menekankan kerjasama dan keharmonian telah memperkukuh semangat solidariti dalam kalangan negara anggota, sekali gus menjadikan ASEAN lebih berpengaruh di pentas global.

“ASEAN terus kekal utuh dengan semangat perpaduan dan solidariti yang tinggi,” katanya dalam temu bual bersama media pada Selasa.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Anwar, ASEAN kini menjadi teras utama kepada kestabilan serantau serta dilihat sebagai pusat diplomasi dan dialog antara kuasa besar dunia.

“Saya dapat melihat bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau benar-benar memastikan ASEAN menjadi tonggak perpaduan yang membawa semua pihak ke pusat tumpuan ASEAN,” ujarnya.

Kao menambah, kepimpinan Malaysia berjaya menarik minat pelbagai kuasa global untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan keselamatan dengan ASEAN, selaras dengan pendekatan terbuka dan berpaksikan keamanan serantau.

“Hasil daripada kepimpinan itu, ASEAN kini berada di kedudukan penting dalam rantau Indo-Pasifik serta terus menarik minat dan perhatian pelbagai kuasa global,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, turut memuji kepimpinan Anwar, dengan menyifatkan Malaysia sebagai “negara yang hebat dan sangat bertenaga” selepas menamatkan lawatan dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Trump berkata, beliau kagum dengan hala tuju kepimpinan Anwar yang menekankan perpaduan serantau dan kestabilan ekonomi, sekali gus mencerminkan peranan penting Malaysia dalam diplomasi global.

Kepimpinan Malaysia di bawah Anwar dilihat menjadi pemangkin kepada penyatuan ASEAN sebagai kuasa serantau utama, yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ekonomi, keselamatan dan kemanusiaan di rantau Indo-Pasifik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com