KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, pendidikan, sains, perdagangan dan pelaburan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hubungan antara kedua-dua negara kekal baik dan Malaysia komited untuk memperluaskan kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama.
“Hubungan kami dengan Rusia kekal baik, dan saya telah mengadakan pertemuan yang baik dengan Presiden Vladimir Putin di Kremlin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.
Menurut Anwar, Malaysia mengamalkan pendekatan seimbang dalam hubungan ekonomi antarabangsa, dengan memberi keutamaan kepada kerjasama perdagangan yang berasaskan prinsip saling menghormati dan manfaat bersama.
“Perjanjian perdagangan yang ditandatangani, kami memberi keutamaan kepada Rusia dan China. Kami berpegang kepada prinsip pemusatan (centrality), yang penting adalah perdagangan dan pelaburan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexey Overchuk, memaklumkan bahawa antara perkara yang dibincangkan bersama Malaysia ialah kerjasama dalam sektor tenaga serta pembangunan rantaian bekalan logistik antara utara dan selatan Eurasia.
“Kami turut berbincang kerjasama dalam sektor tenaga serta memperkenalkan inisiatif kami dalam pembangunan rantaian bekalan logistik antara utara dan selatan Eurasia,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Perdana Menteri.
Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang pelaburan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik di rantau ASEAN, selain mempererat hubungan diplomatik dengan Moscow.
Langkah tersebut turut dilihat sejajar dengan dasar luar Malaysia yang menekankan prinsip keterbukaan dan keseimbangan dalam hubungan antarabangsa, khususnya dengan kuasa besar dunia.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur turut menghimpunkan pemimpin serantau dan dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi membincangkan hala tuju ekonomi dan keselamatan Indo-Pasifik.