Saturday, 1, November, 2025
Utama Negeri 91 peratus kes rogol bawah umur : NGO gesa kempen hargai maruah diri dilancarkan 

91 peratus kes rogol bawah umur : NGO gesa kempen hargai maruah diri dilancarkan 

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Persatuan Ibu Bapa Komuniti dan Sekolah (PIBKS) Negeri Kedah menggesa agar satu kempen kesedaran berskala negeri dilancarkan segera susulan pendedahan mengejutkan mengenai kes rogol bawah umur yang melibatkan remaja atas dasar suka sama suka.

Pengerusinya, Zainol Abidin Mohamad mencadangkan kempen hargai maruah diri dilaksanakan di semua sekolah menengah dan pusat komuniti sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang bahaya pergaulan bebas dan zina dalam kalangan remaja.

“Ini bukan sekadar isu undang-undang, tetapi krisis moral yang membimbangkan. Suka sama suka tidak boleh dijadikan alasan untuk menormalkan pergaulan bebas remaja bawah umur. Ia tetap satu bentuk eksploitasi dan pelanggaran nilai,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada Isnin,  Polis Kedah mendedahkan bahawa sebanyak 91 peratus kes rogol bawah umur yang direkodkan di negeri ini melibatkan hubungan suka sama suka antara remaja.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 100 kes rogol bawah umur dilaporkan dan daripada jumlah itu, 91 kes berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak.

Menurut Zainol Abidin, badan bukan kerajaan (NGO) memandang serius fenomena ini yang disifatkan sebagai cerminan kelonggaran kawalan sosial, pengawasan keluarga dan pengaruh media digital yang semakin meresahkan.

Antara punca yang dikenal pasti termasuk kelemahan kawalan ibu bapa terhadap aktiviti anak-anak selepas waktu sekolah, pengaruh media sosial yang terlalu bebas, serta ketiadaan pendidikan seks berasaskan nilai agama dan akhlak.

“Remaja hari ini terdedah kepada pelbagai bentuk hubungan tidak sihat tanpa sempadan agama dan budaya. 

“Komuniti setempat seperti jiran, surau dan sekolah juga dilihat kurang memainkan peranan dalam memantau perilaku remaja,” ujarnya.

Zainol Abidin berkata, PIBKS turut mengesyorkan agar program Smart Parenting diperluas ke setiap daerah bagi membantu ibu bapa memahami kaedah pemantauan digital, komunikasi berkesan dan pendidikan nilai kepada anak-anak sejak usia muda.

“Pendidikan akhlak dan jati diri perlu diperkukuh di sekolah dengan penglibatan PIBG, PIBKS dan agensi agama. Rondaan komuniti bersama polis dan pihak sekolah juga wajar dilaksanakan di kawasan panas remaja berkumpul,” katanya lagi.

PIBKS turut mencadangkan agar pelajar dilibatkan dalam aktiviti berstruktur seperti sukan, kelab dan sukarelawan bagi mengisi masa lapang secara sihat, selain mewujudkan Kaunselor Rakan Remaja sebagai tempat luahan emosi dan sokongan rakan sebaya.

Zainol menegaskan bahawa penyelesaian isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan keluarga, sekolah, komuniti dan agensi penguat kuasa.

“Maruah bangsa dan masa depan anak-anak kita mesti dipertahankan. Didiklah anak hari ini dengan nilai iman dan akal budi, sebelum dunia luar mendidik mereka dengan cara yang salah,” tegasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com