Saturday, 1, November, 2025
Utama Nasional Agong terima menghadap Perdana Menteri, Anwar persembah hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Agong terima menghadap Perdana Menteri, Anwar persembah hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku bagi mempersembahkan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara minggu lalu.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Anwar mempersembahkan hasil keseluruhan sidang tersebut yang menyaksikan pelbagai kejayaan penting dan dokumen bersejarah dimuktamadkan sepanjang persidangan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober lalu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan semalam memaklumkan sebanyak 80 dokumen diterima dan diluluskan dalam tempoh persidangan itu, termasuk kenyataan bersama dengan rakan ASEAN seperti Amerika Syarikat, Jepun, India, Australia dan New Zealand.

Antara pencapaian utama ialah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Agreement) antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Malaysia turut menyerahkan secara rasmi Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan peralihan kepimpinan serantau selepas negara ini memimpin blok berkenaan bagi tahun 2025.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menumpukan kepada pengukuhan kerjasama politik, keselamatan, ekonomi dan sosial budaya di rantau ini, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dalam memperjuangkan perpaduan dan kemakmuran Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com