KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia, termasuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, membuktikan pencapaian negara dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata pengiktirafan itu bukan soal individu semata-mata, sebaliknya cerminan kepada kemajuan pembangunan, kecekapan infrastruktur serta peranan Malaysia dalam diplomasi serantau.
“Bukan soal Perdana Menteri Malaysia sahaja. Lebuh raya kita hebat, pembangunan kita hebat. Itu satu dunia perhatikan. Ia kebanggaan buat rakyat Malaysia apabila liputan puluhan juta penonton menyorot kejayaan kita,” katanya di Dewan Rakyat.
Anwar turut menyatakan bahawa Trump mengiktiraf peranan Malaysia sebagai pengantara penting dalam usaha perdamaian di rantau Asia Tenggara, termasuk konflik Thailand dan Kemboja.
“Presiden Trump sendiri akui Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha mediasi. Itu bukan perkara kecil,” katanya.
Beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan naratif negatif yang dimainkan pihak tertentu, sebaliknya bersatu membina masa depan negara berasaskan kejayaan yang telah dicapai.
“Nama Malaysia kini harum di mata dunia. Ini kali pertama dalam sejarah kita mendapat pengiktirafan seperti ini. Gunakan kesempatan ini untuk bangunkan negara, bukan untuk menanam rasa iri hati,” katanya.
Menurutnya, kejayaan Malaysia hasil usaha bersama seluruh rakyat, bukan kepimpinan individu semata-mata.
“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, naik dan jatuh, tetapi negara mesti terus diangkat,” tegas beliau.