Tuesday, 4, November, 2025
Utama Negeri Ahmad Maslan lulus PhD, sertai 6,832 graduan terima skrol di Konvokesyen UUM

Ahmad Maslan lulus PhD, sertai 6,832 graduan terima skrol di Konvokesyen UUM

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan melakar sejarah peribadi apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM), sekali gus menjadi antara 6,832 graduan yang diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-38 universiti itu.

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama lima hari bermula 9 hingga 13 November 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM Sintok itu menyaksikan seramai 5,575 graduan peringkat ijazah pertama dan 1,241 graduan pascasiswazah menerima skrol masing-masing, termasuk penerima Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dan Sarjana.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menerima skrol PhD selepas berjaya mempertahankan tesisnya yang bertajuk “Strategi Komunikasi Kerajaan Malaysia: Satu Analisis Penentuan Agenda dan Pembingkaian Pelaksanaan Goods and Services Tax (GST)” pada sesi viva yang berlangsung Ogos lalu.

Tesis beliau yang diselia oleh Prof Madya Dr Nik Adzrieman Abdul Rahman dan Dr Suhaini Muda itu meneliti pendekatan komunikasi kerajaan dalam pelaksanaan GST, dengan sesi viva dipengerusikan oleh Prof Dr Norhafezah Yusof serta melibatkan dua pemeriksa dari dalam dan luar universiti.

Majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, Sintok itu menyaksikan seramai 6,832 graduan diraikan, terdiri daripada 5,575 pelajar prasiswazah dan 1,241 pelajar pascasiswazah, termasuk penerima ijazah PhD, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan, Sarjana dan Diploma Eksekutif.

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohd Foad Sakdan berkata, majlis berprestij itu akan diserikan oleh Canselor UUM, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berkenan amerasmikan sesi pertama konvokesyen.

“Daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 6,317 merupakan pelajar tempatan manakala 441 lagi adalah pelajar antarabangsa dari negara seperti Indonesia, China, Pakistan, Arab Saudi, Nigeria, Somalia dan Iraq,” katanya pada sidang akhbar di Alor Setar pada Isnin.

Beliau turut memaklumkan bahawa UUM akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perniagaan Islam kepada Pengerusi Universiti INCEIF, Tan Sri Azman Mokhtar, menjadikan jumlah penerima kehormat universiti itu kepada 55 orang sejak 1988.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com