KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga tokoh sejarawan negara, Prof Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam yang meninggal dunia petang Isnin.
Anwar menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada dunia akademik dan negara kerana beliau banyak menumpahkan bakti dalam memperkukuh jati diri bangsa melalui bidang sejarah.
“Salam takziah buat seluruh keluarga atas pemergian Allahyarham. Mendoakan keluarganya diberi ketabahan serta kecekalan yang tinggi serta dikurniakan rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmat merupakan antara 17 tokoh yang dilantik menganggotai Majlis Sejarawan Negara yang ditubuhkan pada September lalu.
Beliau ialah Profesor Emeritus dalam bidang sejarah dan mula bergiat aktif menulis sejak tahun 1970-an, dikenali sebagai sarjana yang tegas mempertahankan integriti ilmu serta mengangkat martabat sejarah tanah air.