Wednesday, 5, November, 2025
Utama Nasional Anwar gesa Belia 4B terus perkukuh kerjasama di peringkat akar umbi

Anwar gesa Belia 4B terus perkukuh kerjasama di peringkat akar umbi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan memperkukuh semangat dan penyelarasan antara Gerakan Belia 4B Malaysia (Belia 4B) dengan kumpulan belia di peringkat akar umbi agar gerakan itu kekal relevan serta berimpak tinggi.

Menurut beliau, usaha itu penting bagi memastikan setiap inisiatif yang dirancang mampu memberi manfaat secara langsung kepada golongan muda di seluruh negara.

Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada Majlis Tertinggi Gerakan Belia 4B yang diketuai pengerusinya, Mohd Ridhwan Mohd Ali, di Putrajaya.

Beliau memaklumkan, pertemuan berkenaan turut membincangkan peluang kerjasama strategik antara gerakan itu dan Kerajaan Persekutuan bagi memperkasakan agenda belia sebagai pemacu pembangunan negara.

“Pesanan saya agar Belia 4B menyelaras setiap perancangan masa depan bersama Kementerian Belia dan Sukan serta agensi berkaitan supaya pelaksanaan program lebih menyeluruh, berkesan dan menepati aspirasi generasi muda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Anwar turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan peranan aktif Belia 4B dalam mendekati masyarakat serta melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berfikiran matang dalam menghadapi cabaran semasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com