Wednesday, 5, November, 2025
Utama Nasional Perjanjian timbal balas Malaysia-AS tidak bercanggah Perlembagaan

Perjanjian timbal balas Malaysia-AS tidak bercanggah Perlembagaan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat atau peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara (AGC) memainkan peranan penting dalam meneliti setiap perjanjian yang ditandatangani kerajaan, termasuk ART, bagi memastikan ia mematuhi undang-undang negara.

“Keputusan perbincangan dalam Jemaah Menteri juga diubah suai setelah mendapat input daripada Jabatan Peguam Negara. Itu cara kita bekerja. Malah, dalam keputusan akhir pun, ulasan Peguam Negara tetap diperlukan.

“Ketua rundingan memang daripada MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), tetapi apabila melibatkan soal halal, JAKIM akan masuk; soal import, Kementerian Pertanian terlibat, dan aspek undang-undang dibincangkan bersama Jabatan Peguam Negara dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya di Dewan Rakyat.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) mengenai sama ada perjanjian itu mendapat ulasan daripada AGC pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober lalu sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur. Perjanjian itu merupakan cadangan AS untuk merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa perjanjian tersebut tidak akan menjejaskan kepentingan Bumiputera dan semua pelaksanaannya mesti mematuhi undang-undang domestik Malaysia.

“Saya nak sebut satu peruntukan penting — Seksyen 5 berkaitan Economic and National Security. Ada yang kata tiada sebut kedaulatan, tapi sebenarnya keselamatan negara ditekankan. Peguam Negara beri penjelasan bahawa peruntukan ini komprehensif dan mengikat semua peruntukan lain.

“Jika sesuatu perkara menjejaskan keselamatan negara, kita berhak menolak. Prinsipnya ialah saling percaya dan komitmen bersama memperkukuh hubungan dua hala,” jelas beliau.

Menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) mengenai tindakan pembangkang yang memainkan isu ART di luar konteks, Anwar menegaskan agar semua pihak berdebat berdasarkan fakta.

“Saya tak minta penghargaan, tapi janganlah memaki hamun atas nama agama. Mereka tak peduli fakta. Saya guna peluang kehadiran Presiden AS Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN untuk menyebut secara terbuka isu Gaza — bukan sekali, tapi tiga kali.

“Kita tak sebut 20 atau 21 point consensus, tapi penyelesaian komprehensif, kerana isu Gaza mesti diselesaikan secara menyeluruh. Saya lakukan sedaya upaya untuk mempertahankan kepentingan Gaza dan Palestin,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com