CYBERJAYA: Kejayaan Malaysia membangunkan industri semikonduktor bergantung kepada kemampuan negara melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan global, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, walaupun Malaysia mempunyai dasar serta prasarana kukuh, pembangunan bakat tempatan kekal sebagai cabaran utama dalam memastikan ekosistem industri itu terus mampan dan berdaya saing.
“Yang paling mencabar ialah kelompok bakat (talent pool). Apa maknanya ada prasarana, dasar baik, kemudahan dan insentif, tetapi tenaga kerja semuanya datang dari luar. Kita mahu membina kekuatan dalaman, sebab itu usaha latihan dan peningkatan kemahiran anak muda amat penting,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Menurut beliau, kejayaan menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor semikonduktor juga perlu disokong dengan pelaksanaan dasar yang cekap serta penyediaan kemudahan yang pantas dan efisien.
“Dasar sudah jelas, pelaksanaan mesti cekap, prasarana kena cepat dan memenuhi keperluan pelabur. Kita boleh beri insentif, tetapi perlu juga sediakan kelompok bakat terlatih untuk melindungi kepentingan negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai inisiatif melalui kerjasama kementerian, Khazanah Nasional dan industri bagi melatih serta menaik taraf kemahiran tenaga muda tempatan.
Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya menguasai ilmu dan disiplin tinggi kerana sektor semikonduktor sentiasa berkembang dengan pantas.
“Masa depan ini milik anak-anak. Belajarlah semampu mungkin dan kuasailah disiplin diperlukan, sebab bidang ini cepat berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memuji Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berjaya menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama negara dalam tempoh hanya tiga bulan berbanding kebiasaan lapan bulan.
“Ini menunjukkan bahawa dengan panduan yang jelas, kita boleh bergerak dengan pantas,” katanya.
Beliau menambah, penubuhan IC Design Park 2 bukan sekadar mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global, tetapi juga membuka peluang besar kepada tenaga muda tempatan untuk memacu transformasi digital negara.
Terdahulu, Anwar turut merasmikan Advanced Chip Testing Centre (Pusat Ujian Cip Termaju), yang bakal menjadi pusat ujian cip bertaraf dunia pertama di Asia Tenggara.
Kemudahan itu dijangka menjadi pemangkin utama dalam membangunkan ekosistem semikonduktor lengkap — daripada reka bentuk hingga pengujian teknologi cip — serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor serantau.
Pusat berkenaan turut menjadi sebahagian daripada strategi nasional untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pengeluar cip kontrak, sebaliknya sebagai pereka dan pemilik teknologi cip tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.