PUTRAJAYA: Malaysia melakar sejarah baharu dalam industri semikonduktor apabila Pusat Ujian Cip Termaju pertama di rantau Asia Tenggara dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di CoPlace 9, Cyberjaya, semalam.
Pusat itu dilancarkan bersempena pembukaan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 (IC Park 2) yang menjadi sebahagian daripada strategi nasional untuk menjadikan negara bukan sekadar pengeluar cip kontrak, tetapi turut berperanan sebagai pereka dan pemilik teknologi cip tempatan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menyifatkan kemudahan berkenaan sebagai fasiliti ujian cip bertaraf dunia yang mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global semikonduktor.
“Pusat Ujian Cip Termaju ini merupakan sebahagian daripada strategi nasional untuk menempatkan Malaysia daripada hanya sekadar pengeluar cip kontrak kepada pereka dan pemilik teknologi cip tempatan,” kata Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dalam kenyataan.
Sidec berkata, pusat berkenaan menjadi pemangkin utama ke arah pembinaan ekosistem semikonduktor menyeluruh merangkumi reka bentuk, pengujian dan pengesahan cip.
Fasiliti tersebut turut menempatkan beberapa komponen utama termasuk Pusat Pemeriksaan, Ujian dan Metrologi Cip Termaju (AIM); Pusat Reka Bentuk, Emulasi dan Prototaip; Pusat Pengesahan serta Pusat Penyelidikan dan Latihan Cip Termaju.
Rakan kerjasama antarabangsa dan tempatan yang terlibat termasuk Arm, Synopsys, AWS, Keysight, Tektronix, Cadence, Sicada, QES, Tekmark, ICESB, CADFEM, DF Automation, IIT Madras dan Shenzhen Xinhou Research Centre yang bersama-sama membangunkan ekosistem makmal penyelidikan di bawah IC Park 2.
“Menerusi infrastruktur canggih dan tenaga pakar industri global, pusat ini akan mempercepatkan kitaran pembangunan cip sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti ujian luar negara,” katanya.
Sidec turut menjelaskan, IC Park 2 di Cyberjaya adalah kesinambungan daripada kejayaan fasa pertama di Puchong yang dirasmikan pada Ogos 2024 dan kini menempatkan 14 syarikat dengan lebih 200 jurutera tempatan dan antarabangsa.
Pemilihan Cyberjaya sebagai lokasi strategik dibuat kerana kawasan itu menempatkan kepadatan tertinggi syarikat teknologi di Malaysia serta menyediakan persekitaran kondusif untuk kolaborasi dan inovasi.
Selain itu, Cyberview Sdn Bhd dilantik sebagai pemaju utama hab teknologi Cyberjaya yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh landskap inovasi nasional dan menyokong pembangunan pusat berkenaan.
“Fasa terbaharu di Cyberjaya ini bukan sahaja akan menambah ruang penyelidikan dan pembangunan, tetapi turut menempatkan Advanced Semiconductor Malaysia Academy (ASEM) iaitu pusat latihan lanjutan untuk melahirkan 20,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh 10 tahun,” katanya lagi.
Majlis perasmian turut menyaksikan graduasi tujuh kohort pertama program latihan semikonduktor di bawah ASEM, membabitkan ratusan pelajar kejuruteraan yang menjalani latihan intensif bersama industri.