Sunday, 9, November, 2025
Utama Nasional PM Anwar tegur pembangkang ulas isu ART tanpa faham isi perjanjian

PM Anwar tegur pembangkang ulas isu ART tanpa faham isi perjanjian

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan pembangkang yang lantang mengkritik Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat tanpa memahami kandungan sebenar dokumen berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan memberi pandangan secara melulu itu hanya mencerminkan tahap perbahasan politik negara yang masih rendah dan tidak berasaskan ilmu.

“Bila ada perjanjian dengan Amerika Syarikat, terus kata kita mengalah atau dijajah. Dah baca ke belum? Faham ke tidak? Ini jadi masalah. Tahap perdebatan itu rendah,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di sini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani ART pada 26 Oktober lalu sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu bertujuan merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus di bawah arahan eksekutif yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada April lalu.

Menurut Anwar, pemimpin politik seharusnya menilai sesuatu dasar berdasarkan manfaat kepada rakyat dan negara, bukan menanam sentimen kebencian yang boleh mengelirukan masyarakat.

Beliau berkata, Malaysia perlu memanfaatkan hubungan dagangan dan penyelidikan dengan negara luar secara strategik bagi memperkukuh kedudukan ekonomi serta akademik negara.

“Mesyuarat ASEAN baru-baru ini menunjukkan semua negara berminat meningkatkan pelaburan, perdagangan dan kerjasama universiti. Ini membuktikan Malaysia semakin diyakini,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyeru generasi muda, khususnya mahasiswa, agar membawa idea baharu yang berpaksikan nilai kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

“Kita sudah merdeka hampir tujuh dekad, tetapi masih ada yang terperangkap dengan pemikiran lama, menghina kaum dan memperlekeh budaya sendiri. Idea sebegitu belum merdeka,” ujarnya.

Beliau memuji keberanian mahasiswa masa kini yang lebih berfakta dan beretika ketika berhujah, berbanding segelintir Ahli Parlimen yang gemar berdebat tanpa asas kukuh.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan kerajaan komited memperkasakan usaha membanteras rasuah dan ketirisan hasil negara yang menunjukkan hasil positif sejak dua tahun lalu.

“Dalam tempoh dua tahun ini, kita berjaya hentikan banyak aktiviti penyeludupan, perjudian dalam talian dan rasuah. Sebanyak RM15.5 bilion berjaya diselamatkan. Tapi satu patah pun tak dengar daripada pembangkang menyokong usaha ini, malah ada yang pertahankan perasuah besar,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com