Sunday, 16, November, 2025
Utama Nasional Malaysia tegas berdaulat, tidak tunduk kepada kuasa asing

Malaysia tegas berdaulat, tidak tunduk kepada kuasa asing

oleh Ammar Haziq

BANGI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kekal sebagai sebuah negara berdaulat dan bebas dalam menentukan dasar luar serta hubungan dagang, tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa asing.

Berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pengajian Tinggi Antarabangsa 2025 di UKM, Anwar menolak dakwaan kononnya kerajaan tunduk kepada Amerika Syarikat susulan Perjanjian Perdagangan Tindak Balas (ART).

Jelasnya, tiada peruntukan dalam perjanjian itu yang menghalang Malaysia bertindak mengikut kepentingan keselamatan negara.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia sentiasa berpegang pada undang-undang sendiri dan berhak menilai semula atau membatalkan mana-mana perjanjian jika bercanggah dengan kepentingan nasional.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan pilih kasih, sambil mengingatkan bahawa Malaysia juga menandatangani perjanjian dengan China, bukti bahawa negara ini menjalankan diplomasi seimbang tanpa memihak.

Mengulas mengenai Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan minggu hadapan, Anwar menegaskan beliau tetap hadir meskipun Amerika memboikot acara tersebut, atas jemputan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.

Katanya, Malaysia tidak pernah mengikut telunjuk kuasa besar dan sentiasa mempertahankan dasar luar bebas berteraskan maruah negara.

Dalam isu Gaza, Anwar menegaskan Malaysia tidak pernah menyokong pelan ’20-point plan for Gaza’, sebaliknya terus konsisten menuntut penyelesaian komprehensif yang mengiktiraf hak Palestin sebagai sebuah negara merdeka serta mengecam kekejaman Israel di Tebing Barat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com | Hakmilik MERCU MEDIA ADVERTISING SDN. BHD.