Sunday, 16, November, 2025
Utama Gaya Hidup MTN setuju strategi mampan hala tuju gas asli, perkukuh agenda tenaga hijau

MTN setuju strategi mampan hala tuju gas asli, perkukuh agenda tenaga hijau

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Tenaga Negara (MTN) Bilangan 2 Tahun 2025 bersetuju dengan strategi mampan di bawah Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) bagi memastikan keterjaminan tenaga negara terus terpelihara dalam fasa peralihan menuju ekonomi rendah karbon.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata fokus utama dasar baharu tersebut termasuk meningkatkan perkongsian tenaga boleh baharu sehingga 35 peratus menjelang 2030, memperluas akses grid terbuka, serta memperkukuh pelaburan dalam teknologi hijau mengikut kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menurut Anwar, langkah tersebut penting bagi membangunkan sistem tenaga negara yang lebih inovatif, berdaya saing dan inklusif, seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian masa depan negara.

Mesyuarat turut bersetuju dengan unjuran permintaan serta pembekalan elektrik untuk pusat data berdasarkan penilaian terkini Suruhanjaya Tenaga, satu komponen kritikal susulan pertumbuhan pesat sektor data raya dan kecerdasan buatan di Malaysia.

Selain itu, MTN meluluskan pembangunan Platform Perkhidmatan e-Mobiliti, yang akan menyelaras dan menyepadukan operasi stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh negara, selaras aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya tahan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerajaan MADANI komited mempercepat peralihan tenaga negara demi menjamin masa depan yang lebih bersih, moden dan lestari.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com | Hakmilik MERCU MEDIA ADVERTISING SDN. BHD.