Sunday, 16, November, 2025
Utama Nasional PM gesa penjawat awam terus perbaiki diri, mantapkan mutu perkhidmatan

PM gesa penjawat awam terus perbaiki diri, mantapkan mutu perkhidmatan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa seluruh penjawat awam agar terus memperbaiki diri serta meningkatkan mutu perkhidmatan, selaras dengan tuntutan amanah dan nilai integriti dalam pentadbiran.

Berucap ketika merasmikan Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025, Anwar menekankan bahawa kecemerlangan bukan hanya ukuran prestasi, tetapi cerminan keikhlasan, tanggungjawab dan nilai yang didukung setiap penjawat awam.

Menurut Perdana Menteri, walaupun ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif termasuk pelaburan tertinggi, kadar pengangguran rendah dan pengukuhan ringgit, kejayaan ini tidak boleh dianggap mudah dicapai.

Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik, kerjasama erat antara kepimpinan dan penjawat awam serta keberkesanan pelaksanaan dasar menjadi asas kepada pencapaian tersebut.

Anwar turut mengingatkan bahawa kejayaan negara tidak akan berkekalan tanpa usaha berterusan dan semangat kesatuan.

Katanya, jika setengah juta penjawat awam bangkit dengan semangat baharu serta menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik berasaskan perpecahan, Malaysia mampu muncul sebagai negara unggul di rantau ini.

Beliau menyeru penjawat awam untuk memperkukuh integriti dan menolak amalan yang merosakkan negara, seterusnya membina pentadbiran yang bersih, beramanah dan berwibawa.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com | Hakmilik MERCU MEDIA ADVERTISING SDN. BHD.