PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh berasa terlalu selesa dengan pencapaian yang dinikmati ketika ini, sebaliknya perlu terus berwaspada terhadap kelemahan dalaman yang boleh menggugat kestabilan negara.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bagi November di Puspanitapuri, beliau berkata sikap alpa pernah menjadi punca kejatuhan banyak negara dan Malaysia tidak boleh mengulangi kesilapan sama.
Menurutnya, kejayaan dan pengiktirafan antarabangsa harus disertai kesedaran untuk memperbaiki diri, memelihara integriti serta meningkatkan prestasi dalam perkhidmatan awam.
Anwar turut mengingatkan bahawa setiap jawatan termasuk Perdana Menteri hanyalah amanah sementara yang menuntut sifat rendah diri dan kebertanggungjawaban.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan serta keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum merupakan nikmat besar yang perlu dipertahankan melalui perpaduan dan tadbir urus yang baik.
Anwar menambah bahawa kestabilan yang dikecapi tidak boleh dimanfaatkan demi kepentingan pemimpin, sebaliknya harus digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan negara terus bergerak ke arah kecemerlangan.