Monday, 17, November, 2025
Utama Nasional Penyelesaian MA63 perlu teliti perlembagaan, sokongan dua pertiga – PM

Penyelesaian MA63 perlu teliti perlembagaan, sokongan dua pertiga – PM

oleh Ammar Haziq

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang usaha menyelesaikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dibuat secara menyeluruh, termasuk mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan keperluan mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Anwar berkata walaupun masih ada beberapa tuntutan Sabah yang belum diputuskan, kerajaan di bawah pimpinan beliau telah mencapai lebih banyak kemajuan berbanding pentadbiran sebelum ini.

“Kalau tanya tentang tuntutan Sabah yang belum dipenuhi, saya setuju memang ada. Tapi bandinglah, kerajaan mana sebelum ini? Berapa banyak yang sudah kita selesaikan?


“Tetapi ada isu perlembagaan yang perlu dibahaskan. Bolehkah kita dapat dua pertiga di Parlimen? Saya kena teliti semuanya. Ia bukan semata-mata Sabah mahu itu dan ini, saya dengar, tetapi saya juga perlu patuh kepada Perlembagaan,” katanya pada program Sarapan Pagi dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah di sini.

Beliau berkata penetapan atau pindaan berkaitan MA63 bukan boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan kuasa undang-undang yang mesti selari dengan kehendak Perlembagaan.

Turut hadir Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Mariah Doksil, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarang Daily Express Datuk James Sarda, Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah Datuk Lichong Angkui, Ketua Editor The Borneo Post Datuk Chiu Nai Wen dan Ketua Editor See Hua Daily News Toh Chee Kong.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63, memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan MA63, manakala empat lagi telah diputuskan kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.