Tuesday, 18, November, 2025
Utama Nasional Malaysia perlu kekal berada di tengah, jalin hubungan baik dengan kuasa besar – PM

Malaysia perlu kekal berada di tengah, jalin hubungan baik dengan kuasa besar – PM

oleh Ammar Haziq

KENINGAU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mengekalkan hubungan baik dengan semua kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) dan China demi keselamatan negara serta kepentingan rakyat.

Beliau berkata meskipun Malaysia bukan negara besar atau kaya, pemimpin dunia tetap mengiktiraf peranan negara ini sebagai rakan penting, terbukti melalui pertemuan dan komunikasi peringkat tinggi yang berlangsung sejak kebelakangan ini.

Anwar turut mendedahkan bahawa Presiden AS, Donald Trump, menghubunginya dua hari lalu, satu penghormatan yang menurutnya mencerminkan kedudukan Malaysia di mata kuasa besar.

“Kita jalin hubungan baik dengan AS, kita jalin hubungan baik dengan China. Semua ini untuk kepentingan rakyat dan keselamatan negara. Jika kuasa-kuasa besar bergaduh dan kita terseret sama, rakyat kita yang susah,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra PM Sayang Sabah di Padang Kampung Menawo Ulu.

Menurut beliau, hubungan baik Malaysia dengan AS turut mendapat pengiktirafan daripada Presiden China, Xi Jinping, dalam satu mesyuarat antarabangsa di Korea Selatan baru-baru ini.

“Presiden Xi Jinping kata beliau gembira kerana kita mampu menjaga hubungan yang baik dengan AS. Sebab itu suasana pertemuan mereka jadi lebih mesra dan rundingan berjalan lebih lancar,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar membidas kritikan pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN), yang mempertikaikan kunjungan Trump ke Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Bila kita tunjuk hubungan baik, ada pula yang marah. Yang penting, kita bincang dengan semua pihak untuk jaga hubungan baik demi keamanan negara. Malaysia aman kerana kerjasama pasukan keselamatan dan kestabilan politik kita,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.