Friday, 21, November, 2025
Utama Ekonomi Potensi kerjasama Malaysia-Ethiopia besar – PM

Potensi kerjasama Malaysia-Ethiopia besar – PM

oleh Ammar Haziq

ADDIS ABABA: Malaysia melihat potensi besar untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan Ethiopia, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tahap perdagangan serta pelaburan semasa antara kedua-dua negara masih berada di peringkat awal.

Menurut Anwar, Malaysia bersedia membuka akses produk eksport seperti ayam dan makanan ternakan ke Ethiopia selain menawarkan kepakaran dalam kaedah penanaman sawit bagi membantu merancakkan kerjasama ekonomi baharu.

“Kami bertekad membawa hubungan kedua-dua negara ke fasa lebih strategik merangkumi peluasan perdagangan, pelaburan serta pemerkasaan kerjasama ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Addis Ababa sebelum berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi meneruskan lawatan kerja yang dijadual berlangsung sehingga 23 November sempena Sidang Kemuncak Pemimpin G20.

Pada hari terakhir di Ethiopia, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf di ibu pejabat blok tersebut serta menyampaikan syarahan khas kepada Kesatuan Belia Pan-Afrika dan Majlis Belia Ethiopia.

Beliau juga mengambil kesempatan bertemu pemimpin Islam tempatan sebelum menamatkan kunjungan rasmi di negara berkenaan.

Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika bagi 2024 dan merupakan destinasi pertama dalam rangka lawatan Perdana Menteri ke Afrika.

Selepas menghadiri urusan rasmi di Johannesburg, Anwar dijadual meneruskan lawatan ke Nairobi, Kenya pada 23 hingga 24 November sebelum pulang ke tanah air.

Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bersama delegasi perniagaan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.