Saturday, 22, November, 2025
Utama Nasional Malaysia, Ethiopia perkukuh hubungan strategik melalui pertukaran dokumen penting

Malaysia, Ethiopia perkukuh hubungan strategik melalui pertukaran dokumen penting

oleh Ammar Haziq

ADDIS ABABA: Malaysia dan Ethiopia memeterai beberapa dokumen penting merangkumi sektor strategik sebagai langkah memperkukuh kerjasama dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pertukaran dokumen itu menggambarkan tekad kedua-dua negara membina hubungan yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing, sekali gus membuka ruang kemajuan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia dan Ethiopia.

“Saya dan PM Abiy (Dr Abiy Ahmed Ali) turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang akan memperkukuh kerjasama merentas pelbagai bidang strategik.

“Dokumen tersebut merangkumi Perjanjian Perkhidmatan Udara dan Memorandum Persefahaman Kerjasama Kesihatan,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Selain itu, turut ditandatangani ialah Memorandum Persefahaman Bidang Pelancongan; perjanjian kerjasama antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Bandaraya Addis Ababa; serta pertukaran nota bagi memulakan Konsultasi Dua Hala berkala.

Pada sidang media bersama, Anwar dan Abiy sependapat bahawa hubungan Malaysia–Ethiopia perlu terus diperkukuh dalam semua dimensi berteraskan persahabatan tulen dan keyakinan antara kedua-dua negara.

“Kami turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap bentuk kerjasama berjalan dengan baik, teratur dan membawa manfaat nyata kepada rakyat keseluruhannya,” kata Perdana Menteri.

Lawatan rasmi ke Ethiopia itu turut menandakan fasa baharu hubungan Malaysia–Ethiopia yang sebelum ini tertumpu kepada hubungan perdagangan dan penerbangan, namun kini diperluas kepada kesihatan, pelancongan, pembangunan bandar dan diplomasi dua hala.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.