JOHANNESBURG — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota G20 melangkaui retorik dan mengambil tindakan nyata bagi menangani ketidaksamaan perdagangan global yang terus menekan negara-negara di Selatan Global.
Beliau berkata meskipun perbincangan dalam G20 menunjukkan usaha mencapai konsensus lebih besar terhadap perdagangan pelbagai hala, mekanisme pelaburan dan jurang ekonomi, kemajuan sebenar masih terbatas.
“Kita melihat perancangan yang begitu besar, tetapi tumpuan kepada perdagangan pelbagai hala, pengukuhan mekanisme dan pelaburan serta memastikan tiada jurang ketara antara negara masih kurang,” katanya dalam temu bual audio siar bersama Dr Sizwe Mpofu-Walsh.
Anwar menegaskan negara-negara Eropah dan Utara Global perlu menggunakan platform G20 untuk menangani ketidaksamaan yang lama membelenggu negara miskin.
“Selama ini amalan perdagangan tidak adil dan eksploitasi terhadap sumber negara-negara miskin tidak ditangani. Tidak perlu lagi kita mendengar syarahan dan kata-kata kosong. Kita mahu tindakan konkrit,” katanya.
Menurut beliau, negara-negara di Selatan Global kini lebih berkeupayaan dan jelas dalam menyuarakan pendirian mereka.
Berhubung proses Malaysia menyertai BRICS, Perdana Menteri berkata sokongan daripada Afrika Selatan, China, India dan Rusia menjadi asas Malaysia meneruskan permohonan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan BRICS perlu turut merangkumi bidang baharu, teknologi dan peningkatan perdagangan serantau, sambil mengekalkan hubungan dengan Amerika Syarikat dan Eropah.
Dalam temu bual berdurasi 30 minit itu, Anwar turut menyentuh mengenai ASEAN, hubungan Malaysia–Afrika Selatan serta hala tuju ekonomi dan sosial negara.
G20 tahun ini merupakan penganjuran pertama di benua Afrika.