Wednesday, 26, November, 2025
Utama Nasional Pelaburan dan Teknologi penting tangani risiko iklim

Pelaburan dan Teknologi penting tangani risiko iklim

oleh Ammar Haziq

JOHANNESBURG — Malaysia menggesa tindakan iklim yang lebih tegas dengan menumpukan kepada pelaburan antisipatori, pragmatisme teknologi dan mempercepat penerimagunaan, bagi melindungi nyawa, punca pendapatan dan kestabilan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada Sesi 2 Sidang Kemuncak Pemimpin G20, menekankan bahawa dunia kini dibentuk oleh risiko iklim dan bencana, yang menuntut pendekatan lebih berkesan dan bersedia awal.

Beliau berkata Asia Tenggara kekal sebagai antara pusat bencana global, mencatat hampir separuh kematian akibat bencana di dunia serta kerugian ekonomi mencecah lebih US$4.4 bilion.

“Bukan semua kejadian berpunca daripada perubahan iklim, namun tekanan iklim menjadikan kesannya jauh lebih ketara serta melambatkan proses pemulihan,” katanya.

Anwar berkata daya tahan terhadap bencana bergantung kepada pelaburan proaktif, justeru ASEAN membangunkan salah satu sistem respons bencana paling aktif dalam kalangan negara membangun melalui Pusat AHA.

Beliau menggariskan tiga pendekatan utama menangani cabaran iklim, termasuk memperluas tindakan melalui kerjasama serantau dan subnasional apabila proses global berdepan kesukaran.

“Pengalaman ASEAN membuktikan platform serantau mampu memajukan tindakan iklim, kerjasama bencana dan keterhubungan tenaga walaupun ketika rundingan global terganggu,” katanya.

Cadangan kedua menekankan keperluan menerima pragmatisme teknologi, termasuk pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pengurangan metana dan penyahkarbonan industri.

Menurutnya, Malaysia sedang melabur secara aktif dalam inisiatif tersebut, termasuk membangunkan hab penyimpanan karbon serta memperkukuh integrasi tenaga melalui Grid Kuasa ASEAN dan Saluran Paip Gas Rentas ASEAN.

Bagi cadangan ketiga, Perdana Menteri menekankan keperluan mempercepat tindakan penerimagunaan memandangkan perubahan iklim menjejaskan keselamatan makanan dan air. Produktiviti pertanian global telah merosot lebih 20 peratus sejak 1961, katanya.

“Tanpa sokongan kepada petani, puluhan juta berisiko mengalami kelaparan menjelang 2050,” katanya, sambil menegaskan kepentingan pertanian pintar iklim, sistem amaran awal dan bantuan kepada pekebun kecil.

Anwar berkata Malaysia sedia bekerjasama dengan rakan global, serantau dan tempatan bagi memajukan strategi iklim yang realistik dan berpaksikan rakyat.

Namun, beliau menegaskan usaha itu memerlukan akses pembiayaan iklim antarabangsa yang boleh dijangkakan serta diselaraskan dengan keperluan negara membangun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.