PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimaklumkan mengenai perkembangan terkini banjir monsun timur laut (MTL) yang menjejaskan beberapa negeri sejurus beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas lapan hari menjalankan misi rasmi ke tiga negara Afrika.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau mengambil kesempatan sebaik sahaja menyambut Anwar untuk melaporkan situasi banjir semasa serta beberapa perkara berkaitan perkhidmatan awam.
“Alhamdulillah, YAB Perdana Menteri telah selamat tiba di tanah air setelah lapan hari bermusafir membawa agenda besar negara ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya.
“Dalam kesempatan yang singkat itu, saya sempat memaklumkan perkembangan terkini berhubung situasi semasa musibah banjir MTL yang sedang melanda beberapa negeri serta hal-hal berkaitan perkhidmatan awam,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Lawatan Anwar ke Afrika bermula 18 November lalu, dimulakan di Ethiopia, kunjungan rasmi pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia sebagai tanda balas lawatan Perdana Menteri Ethiopia, Dr Abiy Ahmed Ali ke Malaysia pada Oktober 2024.
Perdana Menteri kemudian berlepas ke Johannesburg, Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 dari 20 hingga 23 November sebelum menutup rangka lawatan dengan pertemuan peringkat tinggi di Nairobi, Kenya pada 23 hingga 24 November.
Situasi banjir kini terus dipantau oleh agensi berkaitan dengan tumpuan diberikan kepada operasi menyelamat, penghantaran bantuan serta keselamatan rakyat yang terkesan.