KUALA LUMPUR: Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan bernilai RM860 juta bagi memperluas operasi pemasangan dan ujian di Malaysia, sekali gus mengukuhkan posisi negara sebagai hab utama industri semikonduktor di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu mencerminkan keyakinan syarikat gergasi teknologi global berkenaan terhadap hala tuju ekonomi negara, termasuk pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Menurutnya, Intel turut menzahirkan penghargaan atas sokongan kerajaan terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju syarikat itu di Pulau Pinang, yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini hampir siap sepenuhnya.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation, Lip-Bu Tan, rakyat Malaysia yang mencipta nama di pentas global dalam bidang semikonduktor dan perisian.
Pertemuan itu turut menyentuh perkembangan sektor semikonduktor negara serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti tinggi.
Kerajaan juga menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan, termasuk pelaksanaan mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan yang menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.
Anwar berkata, keseluruhan pelaburan berterusan itu membuktikan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan strategik dalam memacu inovasi, membangunkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan keunggulan daya saing negara.