Thursday, 4, December, 2025
Utama Ekonomi Kerajaan komited turunkan hutang baharu 2025 kepada RM75 bilion – PM

Kerajaan komited turunkan hutang baharu 2025 kepada RM75 bilion – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited meneruskan penurunan hutang baharu tahun depan dengan unjuran sekitar RM75 bilion, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, trend defisit fiskal yang semakin mengecil setiap tahun membolehkan pinjaman baharu kerajaan turut dikurangkan, sekali gus membuktikan pengurusan hutang negara berada pada landasan berhemat.

“Kadar defisit menunjukkan penurunan konsisten dari tahun ke tahun dan ini bermakna pinjaman baharu kerajaan turut berkurangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat.

Anwar berkata pinjaman baharu berjaya dikurangkan daripada kira-kira RM100 bilion pada 2021 kepada RM99 bilion (2022), RM92 bilion (2023) dan RM77 bilion tahun ini.

Menurutnya, kadar pertumbuhan hutang negara juga menurun daripada 10.2 peratus pada 2022 kepada 8.6 peratus (2023), 6.4 peratus (2024) dan dijangka sekitar 6.0 peratus pada 2025.

“Trend ini bukti nyata hutang negara diurus dengan bertanggungjawab dan digunakan bagi pembiayaan pelaburan yang produktif,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan kerajaan sentiasa memenuhi obligasi pembayaran faedah dan prinsipal hutang mengikut jadual, serta memastikan paras hutang kekal di bawah had statutori.

Setakat September 2025, jumlah hutang Persekutuan ialah RM1.32 trilion atau 65.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Sementara itu, pinjaman luar pesisir berjumlah RM22.4 bilion, masih di bawah paras RM35 bilion seperti ditetapkan Akta Pinjaman Luar Negeri 1963. Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) pula berjumlah RM4 bilion, tidak melebihi had RM10 bilion seperti di bawah Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946.

Anwar menjelaskan kerajaan menyasarkan nisbah hutang kepada KDNK distabilkan sebelum mula berkurangan dalam jangka sederhana antara 2027 hingga 2028, selari usaha meredakan tekanan ekonomi global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.