Thursday, 4, December, 2025
Utama Nasional PM pertahan projek Kota MADANI, tegaskan guna dana Putrajaya Holdings

PM pertahan projek Kota MADANI, tegaskan guna dana Putrajaya Holdings

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pembangunan Kota MADANI di Putrajaya selepas pembangkang mempersoalkan kos projek berkenaan yang didakwa lebih wajar digunakan untuk pembinaan sekolah baharu.

Perdana Menteri menegaskan projek itu tidak menggunakan peruntukan kerajaan sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh Putrajaya Holdings. Beliau menjelaskan Kota MADANI dibangunkan bagi menyediakan 10,000 unit kuarters kediaman untuk penjawat awam di Putrajaya.

“Dikritik lagi Kota MADANI. Kota MADANI ini Putrajaya Holdings yang buat, bukan dana kerajaan. Kenapa hendak marah kepada pegawai kerajaan? Kota MADANI itu untuk 10,000 rumah penjawat awam kerana ketika ini kita tidak dapat menampung,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.

Anwar turut menolak dakwaan pembangkang bahawa projek itu tidak penting, sebaliknya menegaskan Kota MADANI dirancang sebagai bandar pintar yang menekankan integrasi kecerdasan buatan (AI), mobiliti hijau serta prasarana digital moden.

“Ia bukan kota mega atau projek seperti menara berkembar. Oleh kerana ia baru dibangunkan, ia mesti dilengkapi ciri bandar pintar. Apa salahnya?” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang mempertikaikan pembangunan Kota MADANI dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang, yang disifatkan sebagai tidak mustahak.

Kota MADANI dijangka menampung lebih 30,000 penduduk melalui pembangunan berintensiti tinggi yang turut merangkumi sekolah menegak, institusi TVET, balai polis, balai bomba, kemudahan kesihatan, institusi kewangan, masjid serta reka bentuk berunsur budaya tempatan.

Fasa pertama pembangunan dijadual bermula September ini dan disasarkan siap menjelang akhir 2027.

Dalam sesi sama, Anwar mempersoalkan sikap pembangkang yang didakwanya memilih isu tertentu untuk diserang tanpa menyorot projek lain yang turut membabitkan kos besar.

“Mengapa Pulau Pinang ada LRT dipersoal? Mengapa tidak disebut ECRL yang kosnya RM40 bilion, RM50 bilion merentasi Terengganu dan Kelantan? Itu kos tinggi. Kita tidak bangkitkan kerana kita anggap ia sudah berjalan, malah kerajaan sekarang mengurangkan kos serta memastikan subkontraktor tempatan diberi peluang,” katanya.

Beliau menjelaskan sebahagian pembiayaan projek LRT Pulau Pinang bukan daripada perbelanjaan pembangunan kerajaan, sebaliknya melalui kaedah bon dan pembayaran balik.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.