Monday, 8, December, 2025
Utama Nasional Kes tembak dan kematian dalam tahanan: PM arah siasatan terbuka

Kes tembak dan kematian dalam tahanan: PM arah siasatan terbuka

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua siasatan membabitkan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, serta kes kematian dalam tahanan mesti dijalankan secara telus dan tanpa perlindungan kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata Jemaah Menteri menyokong ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kegiatan jenayah, namun menekankan bahawa aduan berkaitan salah laku atau pelanggaran prosedur oleh anggota pasukan itu tidak boleh diketepikan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara memastikan siasatan dijalankan secara terbuka, terperinci dan tidak melindungi sesiapa. Kita tidak melindungi penjenayah, tetapi kita juga tidak akan melindungi tindakan yang bercanggah dengan proses negara hukum,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Cyberjaya 10.

Anwar turut meminta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyediakan laporan lengkap kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung perkembangan siasatan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar memaklumkan satu pasukan khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal pada 24 November lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebelum itu berkata ketiga-tiga suspek, berusia 24 hingga 29 tahun, ditembak selepas seorang daripada mereka melibas parang ke arah anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit, menyebabkan seorang anggota cedera parah.

Geng Durian Tunggal itu dipercayai aktif sejak tahun lalu membabitkan lebih 20 kes jenayah di Melaka serta beberapa kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian keseluruhan RM1.35 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Digital Gobind Singh Deo dilaporkan menggesa Jabatan Peguam Negara menjelaskan dakwaan berkaitan kematian seorang pemandu lori dalam tahanan polis yang didakwa tidak disiasat walaupun sudah lebih sembilan bulan berlaku.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.