Monday, 8, December, 2025
Utama Nasional PM kenang Bung Moktar sebagai pemimpin tegas dan dekat dengan rakyat

PM kenang Bung Moktar sebagai pemimpin tegas dan dekat dengan rakyat

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dan menyifatkan pemergian Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu sebagai kehilangan besar kepada dunia politik tanah air.

Anwar berkata beliau mengenali Allahyarham sebagai tokoh berprinsip yang lantang memperjuangkan isu rakyat, khususnya di Sabah, serta sentiasa menunjukkan komitmen tinggi terhadap tanggungjawab awam.

“Jasa beliau dalam politik nasional dan usaha membela rakyat Sabah akan terus dihargai. Saya berdoa agar keluarga Allahyarham diberi kekuatan menghadapi saat dukacita ini dan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Bung Moktar, 66, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi Jumaat di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu dipercayai akibat kegagalan buah pinggang.

Berita pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan dan ADUN Lamag itu dimaklumkan anaknya, Naim Kurniawan Moktar, yang meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.

Allahyarham dimasukkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.