Monday, 8, December, 2025
Utama Nasional Program Rancakkan MADANI platform kerajaan lapor pencapaian terus kepada rakyat – PMO

Program Rancakkan MADANI platform kerajaan lapor pencapaian terus kepada rakyat – PMO

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang berlangsung selama tiga hari menjadi platform kerajaan bertemu rakyat serta melaporkan pencapaian memasuki tahun ketiga pentadbiran.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata program di Dataran Putrajaya itu meneruskan tradisi pelaporan tahunan selepas penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (2023) dan Dua Tahun Bersama Kerajaan MADANI (2024).

Beliau berkata pelbagai dasar, reformasi dan inisiatif kerajaan dipamerkan secara telus merangkumi lapan segmen utama termasuk Produk Rakyat MADANI, Belia MADANI, reformasi perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, hubungan antarabangsa serta pengisian menuju Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sepanjang program, orang ramai berpeluang mendapatkan perkhidmatan langsung kementerian dan agensi, menyertai aktiviti kekeluargaan, karnival kerjaya, pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah serta pameran keselamatan.

Turut diadakan program STEM-AI, TVET, aktiviti sukan, pengangkutan, pelancongan dan pertukaran topi keledar motosikal yang dirangka bagi memastikan manfaat dasar kerajaan sampai kepada rakyat.

Tunku Nashrul berkata, program itu turut membuka ruang lebih luas untuk rakyat bertemu pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri dan pimpinan tertinggi kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan kepercayaan dalam kerangka Malaysia MADANI.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.