KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai badan pusat baharu untuk mengendalikan dan menyelesaikan aduan awam, merangkumi isu salah tadbir, salah laku, perlindungan pemberi maklumat serta kebebasan maklumat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 8 yang dipengerusikannya di Putrajaya.
Beliau berkata penubuhan Ombudsman Malaysia menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh hak rakyat dan integriti sektor awam, manakala Rang Undang-Undang berkaitan dijangka dibentang pada awal 2026.
Anwar berkata kerajaan juga memberi tumpuan kepada peningkatan pematuhan korporat dalam syarikat yang mengurus dana awam agar mandat sosial dipenuhi mengikut piawaian tadbir urus yang baik.
Menurutnya, ia termasuk cadangan penggubalan undang-undang baharu bagi menyelaras Perusahaan Dimiliki atau Dikawal Kerajaan (SOE), termasuk anak syarikat badan berkanun, supaya beroperasi berdasarkan kerangka undang-undang yang lebih tersusun.
“Persetujuan ini menunjukkan iltizam kerajaan untuk memacu reformasi institusi, dasar dan perundangan secara holistik demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap ketelusan pentadbiran serta mutu perkhidmatan awam,” katanya.