Wednesday, 10, December, 2025
Utama Nasional Malaysia bimbang insiden bersenjata Thailand–Kemboja, tawar bantu redakan ketegangan

Malaysia bimbang insiden bersenjata Thailand–Kemboja, tawar bantu redakan ketegangan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap pertempuran bersenjata yang kembali tercetus di sempadan Thailand dan Kemboja sehingga meragut nyawa serta mencederakan anggota tentera kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan, beliau turut menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa pertempuran itu boleh menjejaskan usaha yang telah digerakkan sebelum ini bagi memulihkan hubungan dua negara jiran berkenaan.

Anwar berkata Thailand dan Kemboja merupakan rakan rapat Malaysia serta anggota penting ASEAN, justeru kedua-dua negara digesa bertindak berhemah, mengekalkan komunikasi terbuka dan menggunakan sepenuhnya mekanisme serantau yang sedia ada.

Malaysia dalam masa sama menyatakan kesediaan membantu langkah yang dapat meredakan situasi dan mengelakkan konflik berlanjutan.

“Keutamaan sekarang ialah menghentikan pertempuran, melindungi orang awam dan kembali ke meja diplomasi berlandaskan undang-undang antarabangsa serta semangat kejiranan ASEAN,” kata Perdana Menteri.

Konflik terbaharu itu muncul semula selepas Bangkok dan Phnom Penh menandatangani perjanjian gencatan senjata yang disaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Anwar di Kuala Lumpur dua bulan lalu.

Namun pelaksanaannya terganggu selepas Thailand menggantung komitmen tersebut berikutan insiden letupan periuk api di kawasan sempadan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.