PUTRAJAYA: Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 mencatat kehadiran 502,804 pengunjung sepanjang penganjurannya dari 5 hingga 7 Disember di Dataran Putrajaya.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, program anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia itu turut merekodkan pencapaian penting termasuk jualan MADANI berjumlah RM2.15 juta, merangkumi Jualan RAHMAH, Jualan Agro, Selera Malaysia dan trak makanan.
Inisiatif padanan perniagaan pula mencapai nilai melebihi RM400,000, manakala kaunter kompaun saman terpilih PDRM dan JPJ mengutip keseluruhan RM134,473.
Sebanyak 1,252 pencari kerja menerima tawaran melalui sesi temu duga terbuka yang diadakan sepanjang program.
Majlis penutupan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri serta kepimpinan tertinggi Perkhidmatan Awam.
Program itu menghimpunkan 500 pengisian merentasi lapan segmen utama termasuk Belia MADANI, ARPA, Ukhuwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Diplomasi MADANI.
Antara inisiatif baharu yang dilancar ialah Sahabat Penggerak MADANI, SIKR 3.0, Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan ARPA dan Buku Malaysia Merdeka.
Anwar berkata penganjuran tersebut menjadi platform rakyat menilai pencapaian kerajaan sepanjang tiga tahun pentadbiran MADANI, selain membolehkan pelbagai perkhidmatan serta inisiatif disampaikan secara terus di satu lokasi.