CYBERJAYA: Semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia dianggap sebagai berdaftar di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) mulai 1 Januari 2026.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan itu dibuat menerusi pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau dikenali sebagai Peruntukan Deeming.
Katanya, langkah berkenaan bertujuan memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna tempatan beroperasi secara teratur, konsisten serta mematuhi kerangka perundangan dan kawal selia negara.
“Pendekatan itu juga selaras dengan kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan tahap akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
“Inisiatif ini turut memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Menurut kenyataan itu, antara penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan ialah WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
MCMC menjelaskan, penyedia perkhidmatan yang sudah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar, manakala pelaksanaan Peruntukan Deeming hanya berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.
Dalam pada itu, semua platform terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global masing-masing seperti biasa, sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
MCMC menegaskan akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang bagi memperkukuh keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak dan keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia.