PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jentera komunikasi kerajaan perlu terus diperkukuh bagi memastikan dasar, keputusan serta hala tuju pentadbiran dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan kepada rakyat.
Beliau berkata komunikasi yang baik memerlukan keberanian, ketelusan dan keupayaan menjelaskan keadaan sebenar negara, termasuk kejayaan, kekangan serta perkara yang masih belum dapat dilaksanakan oleh kerajaan.
Anwar memaklumkan beliau telah mengingatkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mengenai keperluan mempertingkatkan keupayaan pasukan komunikasi kerajaan, sambil mengakui antara kritikan paling ketara ketika ini ialah jentera komunikasi yang masih belum cukup mantap.
“Saya sentiasa menganggap kami sebagai satu pasukan yang berusaha sebaik mungkin, namun kita juga berdepan kekangan dan mungkin melakukan kesilapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.
Majlis taklimat berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, dan disertai 92 wakil media tempatan serta antarabangsa.
Perdana Menteri menegaskan bahawa komunikasi kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai jentera propaganda, sebaliknya berperanan menjelaskan realiti sebenar pentadbiran negara kepada rakyat.
“Ini bukan jentera propaganda, tetapi usaha untuk menerangkan apa yang benar-benar berlaku, apa yang telah kita lakukan, kekangan yang kita hadapi dan perkara yang masih belum dapat dilaksanakan,” katanya.
Menurut Anwar, kejelasan komunikasi amat penting bukan sekadar dalam menghadapi pilihan raya, tetapi lebih besar daripada itu, iaitu untuk membina struktur negara yang kukuh dan hubungan yang lebih baik antara kerajaan dengan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan peranan media dalam membantu menasihati kerajaan agar penyampaian maklumat kepada rakyat dapat dilakukan secara berkesan dan bertanggungjawab.
Sementara itu, Anwar berkata semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu meningkatkan penguasaan serta kemahiran dalam bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan dan kefahaman dalam masyarakat majmuk.