Friday, 19, December, 2025
Utama NasionalMMM boleh jadi penasihat kerajaan, perkukuh kebebasan media

MMM boleh jadi penasihat kerajaan, perkukuh kebebasan media

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Media Malaysia (MMM) boleh memainkan peranan penting sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam usaha memperkukuh kebebasan media, termasuk mengenal pasti undang-undang atau peruntukan sedia ada yang berpotensi menyekat kebebasan tersebut.

Beliau berkata MMM perlu menetapkan garis panduan yang jelas mengenai kebebasan media serta mencadangkan batasan yang wajar, khususnya dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Kebebasan media di negara ini perlu dipertingkatkan. Apakah hadnya? Kita masih berdepan isu berkaitan kaum dan agama. Di sinilah peranan Majlis Media untuk memberi nasihat berhubung undang-undang atau peruntukan yang mungkin menyekat kebebasan,” katanya.

Menurut Anwar, sebarang cadangan yang dikemukakan oleh MMM akan dibawa untuk pertimbangan Kabinet serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bagi diteliti secara serius.

Beliau berkata demikian ketika sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Taklimat tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, serta disertai 92 wakil media tempatan dan antarabangsa.

Anwar menegaskan kod etika media tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang terlalu membataskan prinsip kebebasan media secara keseluruhan, sebaliknya bertujuan memastikan media mengamalkan tanggungjawab dan kawal selia kendiri.

“Konsep kebebasan media yang saya fahami sejak awal ialah kebebasan yang disertai rasa tanggungjawab, keupayaan mengurus sendiri dan memahami had yang wajar. Ia tidak seharusnya menjejaskan visi besar kebebasan media yang kita perjuangkan,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan media agar mengamalkan tahap tanggungjawab yang tinggi, khususnya dalam suasana persaingan sengit antara organisasi media yang kadangkala mendorong eksploitasi sentimen perkauman atau agama.

Beliau berkata kecenderungan itu boleh menghakis kefahaman masyarakat terhadap realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, justeru kebebasan media perlu seiring dengan kepekaan sosial dan kepentingan keharmonian negara.

Untuk rekod, Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 telah diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu dan Dewan Negara pada 19 Mac, sebelum diwartakan sebagai Akta Majlis Media Malaysia 2025 pada 13 Jun.

Penubuhan MMM disifatkan sebagai pencapaian penting industri media negara selepas cadangannya dibincangkan sejak 1973, dengan matlamat menjamin kebebasan media serta memastikan masyarakat menerima maklumat yang sahih, berintegriti dan adil.

Pada 7 November lalu, seramai 12 individu dipilih menganggotai Lembaga MMM yang mewakili syarikat media, wartawan, persatuan media, orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Artikel Berkaitan