Wednesday, 24, December, 2025
Utama NasionalKeselamatan internet, komunikasi kerajaan diperkukuh menjelang 2026

Keselamatan internet, komunikasi kerajaan diperkukuh menjelang 2026

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keselamatan internet serta memperbaiki penyampaian maklumat kerajaan supaya lebih berkesan dan menepati keperluan kumpulan sasar pada 2026, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan dan keadilan sosial.


Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata antara langkah utama yang akan dilaksanakan ialah pengenalan Kempen Internet Selamat 2.0 yang diperluas skopnya, bukan sahaja kepada kanak-kanak dan remaja, malah melibatkan ibu bapa serta masyarakat umum.


“Saya berasa bersalah sekiranya kita hanya berjaya menyediakan internet yang laju dan murah, tetapi tidak selamat. Sebab itu, Kempen Internet Selamat 2.0 akan dilipatgandakan dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.


Beliau berkata kempen berkenaan akan dilaksanakan dalam skala besar melalui siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi kefahaman menyeluruh mengenai keselamatan digital, termasuk peranan ibu bapa dalam melindungi anak-anak daripada risiko buli siber, penipuan dalam talian serta penyalahgunaan platform digital.


Selain itu, Fahmi berkata kementerian turut memberi tumpuan kepada perlindungan pengguna melalui pengoperasian Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain pembangunan Sistem Alamat Nasional (NAS) bagi menyokong perkhidmatan awam, logistik dan ekonomi digital.


Menurutnya, antara legasi yang ingin dibina oleh Kerajaan MADANI ialah rangka undang-undang yang lebih kukuh bagi melindungi rakyat, khususnya kanak-kanak dan institusi keluarga daripada ancaman dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.


“Pada 2025, kita telah melihat beberapa pencapaian penting termasuk pindaan kepada undang-undang komunikasi yang tertangguh lebih sedekad, antaranya Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa pada 7 Februari lalu,” katanya.


Beliau berkata pindaan berkenaan membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap penyalahgunaan rangkaian, termasuk buli siber, penipuan dalam talian, doxing serta penggunaan akaun palsu, sekali gus memastikan rangka perundangan negara kekal relevan dan berkesan.


Mengimbas tragedi kematian pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau Esha pada Julai 2024 akibat buli siber, Fahmi menyifatkannya sebagai detik paling menyedihkan sepanjang tempoh perkhidmatannya, namun menjadi pemangkin kepada perubahan sistem.


“Malangnya, ia mengambil satu kehilangan nyawa untuk sistem berubah. Tetapi kini kita mempunyai pindaan Kanun Keseksaan yang merangkumi ‘Fasal Esha’ serta penubuhan tribunal anti buli, yang memberi ruang kepada mangsa untuk mendapatkan keadilan,” katanya.


Beliau turut menyentuh langkah melesenkan platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet bermula 1 Januari 2025, sambil menegaskan kerajaan perlu bersikap tegas walaupun tidak semua platform memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Kita lihat ada platform yang patuh dan ada yang masih berdegil, tetapi kerajaan perlu bertindak tegas demi keselamatan rakyat,” katanya.


Mengenai penyampaian maklumat kerajaan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menegaskan pendekatan komunikasi perlu berubah dengan mengambil kira segmen sasaran, platform yang digunakan serta kaedah penyampaian paling berkesan.


“Tidak guna kita sediakan maklumat yang baik tetapi tidak sampai atau tidak dapat dihadam oleh rakyat. Kita perlu faham siapa sasaran kita dan bagaimana mereka menerima maklumat,” katanya.


Beliau berkata kajian mendapati generasi Gen Z dan Gen Alpha banyak mendapatkan maklumat melalui platform digital seperti WhatsApp, TikTok dan Facebook, namun masih meletakkan kepercayaan tinggi terhadap berita daripada televisyen, radio dan akhbar.


“Ini keadaan yang unik. Mereka jarang menonton televisyen, tetapi apabila menonton berita di televisyen, mereka percaya. Ini kekuatan yang perlu dimanfaatkan,” katanya.


Mengulas pencapaian kementerian, Fahmi berkata antara yang paling membanggakan ialah penubuhan Majlis Media Malaysia selepas lebih lima dekad diperjuangkan, selain penggubalan dan pindaan beberapa akta penting berkaitan media dan komunikasi.


“Ini satu amanah besar yang perlu diperkukuh demi kepentingan rakyat dan industri,” katanya, sambil menambah Buku Tiga Tahun Pencapaian Kementerian Komunikasi turut diterbitkan bagi merumuskan usaha bersepadu memperkukuh ekosistem komunikasi dan digital negara.

Artikel Berkaitan