RAWANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agenda reformasi perlu dilaksanakan ketika memegang kuasa dan bukannya hanya dilaungkan ketika berada di luar kerajaan.
Beliau berkata, sejarah menunjukkan ada pemimpin yang lantang bersuara ketika tidak memerintah, namun gagal melaksanakan perubahan apabila diberi mandat, justeru keadaan itu tidak wajar berulang.
Menurut Anwar, pelaksanaan reformasi perlu dilakukan secara waras dan berhemah melalui rundingan serta musyawarah bersama pimpinan parti dalam Kerajaan MADANI.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, di sini.
Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, usaha membawa perubahan bukan sesuatu yang mudah kerana wujud perbezaan keutamaan dalam kalangan parti gabungan Kerajaan Perpaduan.
“Setiap parti ada keutamaan masing-masing, jadi kita perlu mengemudi kerajaan ini dengan kebijaksanaan,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan kekal komited melaksanakan agenda pembaharuan khususnya dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang tidak boleh dikompromi.
Pada masa sama, Anwar berkata kebebasan institusi kehakiman serta tadbir urus berintegriti menjadi teras utama reformasi Kerajaan MADANI.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada veteran PKR atas sumbangan dan pengorbanan mereka dalam perjuangan parti, selain mencadangkan penubuhan Unit Veteran di setiap cabang bagi memperkukuh organisasi akar umbi.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut merasmikan pensijilan logo halal bagi produk Gula Rahmah yang dijual pada harga RM2.70 sekilogram, yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Produk berkenaan disahkan halal serta mematuhi piawaian keselamatan makanan, selain melibatkan sepenuhnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera.