Tuesday, 6, January, 2026
Utama NasionalAnwar lancar ‘I LITE U’, hidupkan Bukit Bintang pacu TMM 2026

Anwar lancar ‘I LITE U’, hidupkan Bukit Bintang pacu TMM 2026

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Projek Inovasi Pencahayaan “I LITE U” di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang, sebagai usaha memperindah landskap bandar secara lestari dan menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).


Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.


Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, beberapa timbalan menteri dan pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh selaku Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).


Orang ramai pelbagai kaum membanjiri sekitar Pavilion bagi menyaksikan peluncuran yang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu TMM 2026, diikuti persembahan kebudayaan serta tayangan video khas.


Majlis turut dimeriahkan perarakan besar melibatkan 16 kontinjen dan persembahan artis tempatan terkenal.


Projek “I LITE U” merangkumi laluan utama hampir satu kilometer di sekitar Bukit Bintang, menampilkan paparan pencahayaan moden menggunakan lebih 70 lampu LED cekap tenaga berkonsepkan lampu gantung, lampu bulan dan tema dongeng.


Inisiatif itu bertujuan menghidupkan suasana malam bandar, memperkukuh agenda bandar rendah karbon serta memperkasa tarikan pelancongan menjelang TMM 2026.


“I LITE U” ialah akronim kepada Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi dan Urbanisasi mampan.

Artikel Berkaitan