Thursday, 8, January, 2026
Utama NasionalRUU hadkan tempoh jawatan PM dibentang 19 Januari

RUU hadkan tempoh jawatan PM dibentang 19 Januari

oleh Ammar Haziq


PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 19 Januari ini.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penetapan had tempoh tersebut penting bagi memastikan kelangsungan kepimpinan negara serta memberi ruang kepada generasi seterusnya untuk meneruskan agenda pembangunan.


“Ia juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh berkenaan, ia sudah mencukupi untuk melaksanakan agenda dan tanggungjawab yang diamanahkan. Selepas itu, elok diserahkan kepada generasi berikutnya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari serta Amanat Tahun 2026, di sini.


Menurut Anwar, pembentangan RUU berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi institusi dan amalan tadbir urus yang lebih baik, sejajar dengan prinsip demokrasi dan kebertanggungjawaban kepimpinan.


“Maka kita, Jabatan Perdana Menteri, akan membentangkan RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal,” katanya.


Beliau menegaskan langkah itu bukan sahaja bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa dalam tempoh terlalu lama, malah memastikan kesinambungan dasar negara dapat diteruskan secara teratur melalui peralihan kepimpinan yang sihat dan terancang.

Artikel Berkaitan