ANKARA: Hubungan Malaysia dan Turkiye kini bukan sekadar terikat pada diplomasi rasmi, sebaliknya diperkukuh dengan keakraban peribadi antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Anwar berkata, hubungan erat itu terserlah apabila Erdogan secara berseloroh mengingatkan beliau supaya melakukan lawatan rasmi ke Turkiye, jika tidak persahabatan mereka akan “terputus”.
Menurut Perdana Menteri, gurauan itu menggambarkan keakraban hubungan kedua-dua pemimpin serta pentingnya lawatan rasmi berkenaan dalam memperkukuh persahabatan antara Malaysia dan Turkiye.
“Kunjungan ini saya anggap sangat penting. Presiden Erdogan bergurau jika saya tidak datang ke Turkiye pada Januari, beliau tidak mahu berkawan lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia di sini.
Anwar berkata, walaupun sebelum ini belum melakukan lawatan rasmi, beliau sudah beberapa kali ke Turkiye termasuk pada 2023 bagi menzahirkan solidariti ketika negara itu dilanda gempa bumi.
Beliau turut mengadakan kunjungan singkat ke Turkiye dalam perjalanan dari Arab Saudi sebelum ke Mesir sebagai sebahagian usaha mengukuhkan pendirian negara-negara Islam dalam membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza.
Menurutnya, lawatan rasmi kali ini memberi ruang untuk pertemuan lebih mendalam dan substantif bersama Erdogan supaya persahabatan serta kerjasama dua hala dapat diperkukuh dengan lebih bermakna.
Anwar berkata, Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan sedia ada di samping meneroka peluang baharu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, keselamatan, kebudayaan dan pelancongan.
Perdana Menteri tiba di Ankara pada malam Selasa bagi lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye, diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri kanan Kabinet dan pegawai kanan kerajaan.
Dalam lawatan itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Erdogan serta mempengerusikan bersama mesyuarat Majlis Strategik Peringkat Tinggi Malaysia–Turkiye.
Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal, berkata mesyuarat berkenaan akan membincangkan pelbagai aspek kerjasama termasuk perdagangan, pertahanan, tenaga, semikonduktor, kesihatan, pelancongan dan pendidikan.
Beliau berkata, lawatan itu juga merupakan kunjungan balas susulan lawatan rasmi Erdogan ke Malaysia pada Februari tahun lalu.
Anwar dijadual menerima anugerah khas The Order of the Republic sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia dan Turkiye.