KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan kesihatan yang baik serta kesembuhan segera.
Anwar berkata, beliau dan isteri mendoakan bekas Perdana Menteri itu supaya kembali pulih dan dipermudahkan segala urusan rawatan.
“Saya dan Azizah mendoakan keafiatan dan kesembuhan segera buat Tun, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tun Dr Mahathir dilaporkan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.30 pagi selepas terjatuh di kediamannya.
Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar Dr Mahathir, Sufi Yusoff menerusi makluman di saluran media rasmi Dr M Media Updates di aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, pemimpin berusia 100 tahun itu dikejarkan ke IJN menggunakan ambulans dan berada dalam keadaan sedar ketika menerima rawatan.
Tun Dr Mahathir sebelum ini beberapa kali menerima rawatan di IJN dan perkembangan kesihatannya sering menjadi perhatian orang ramai.