Friday, 9, January, 2026
Utama NasionalPM mulakan lawatan rasmi ke Turkiye, perkukuh hubungan dua hala

PM mulakan lawatan rasmi ke Turkiye, perkukuh hubungan dua hala

oleh Ammar Haziq

ANKARA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Ankara, malam tadi, bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye dalam usaha memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan republik itu.


Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada jam 7.13 malam waktu tempatan.


Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Ketibaan delegasi Malaysia disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal serta Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler selaku menteri pengiring.


Sejurus tiba, Perdana Menteri menghadiri Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama diaspora Malaysia yang berlangsung di sebuah hotel di sini, melibatkan penyertaan rakyat Malaysia termasuk pelajar dan golongan profesional.


Sepanjang lawatan hingga 8 Januari ini, Anwar dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bagi membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama.


Beliau juga akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pertama Majlis Strategik Peringkat Tinggi Malaysia-Turkiye yang menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara.


Selain itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan syarahan umum di Ankara serta mengadakan lawatan kerja ke Istanbul.


Fokus lawatan turut diberikan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi menerusi sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat utama Turkiye dan pertemuan dengan wakil industri.


Anwar juga akan mengadakan sesi interaksi media bagi menggariskan hala tuju hubungan Malaysia-Turkiye, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan dan teknologi.


Menurut Kementerian Luar, hubungan perdagangan antara Malaysia dan Turkiye terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan nilai dagangan mencecah RM21.2 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2025.


Pada 2024, Turkiye muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat, selain menjadi destinasi eksport utama dan sumber import keempat terbesar rantau itu.


Lawatan rasmi ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik Turkiye, selain membuka lebih banyak peluang kerjasama ekonomi dan diplomatik pada masa depan.

Artikel Berkaitan