Friday, 9, January, 2026
Utama NasionalTekad antirasuah bukan slogan, kerajaan selamatkan RM15.5 bilion

Tekad antirasuah bukan slogan, kerajaan selamatkan RM15.5 bilion

oleh Ammar Haziq

ANKARA: Usaha membanteras rasuah dan memperkukuh tatakelola yang baik oleh Kerajaan MADANI dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan, bukan sekadar retorik politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, ketegasan kerajaan memberi kebebasan penuh kepada agensi penguatkuasaan untuk bertindak terhadap kegiatan penyeludupan, ketirisan, kartel serta kongsi gelap telah membuahkan hasil ketara apabila RM15.5 bilion berjaya diselamatkan bagi tempoh antara 2023 hingga 2025.


Menurut Perdana Menteri, pembetulan dan penambahbaikan sistem tadbir urus negara membolehkan kerajaan menumpukan lebih banyak sumber kepada pembangunan rakyat walaupun berdepan tentangan daripada pihak berkepentingan yang berpengaruh.


“Saya tidak mengatakan langkah ini mudah. Ia mengundang bantahan keras daripada golongan tertentu yang kaya dan berkuasa, namun ketegasan ini perlu supaya negara tidak terus dikaitkan dengan imej kebobrokan, kepincangan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama Diaspora Malaysia sempena lawatan rasmi beliau ke Turkiye di sini.


Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia yang menetap di Ankara, termasuk golongan profesional dan pelajar.


Anwar menegaskan, komitmen memerangi rasuah ketika ini melangkaui sempadan politik kerana ia turut melibatkan penjawat awam dan anggota keselamatan, termasuk pasukan tentera dan polis.


Namun begitu, beliau menzahirkan rasa syukur kerana agenda antirasuah mendapat sokongan padu daripada Jemaah Menteri serta rakyat Malaysia secara keseluruhan.


“Kesepakatan ini memberi ruang kepada badan penguatkuasaan untuk bertindak dengan lebih berani dan tegas dalam membanteras kartel besar, kongsi gelap serta aktiviti penyeludupan yang merugikan negara,” katanya.


Beliau berkata, keberanian agensi penguatkuasaan itu adalah hasil kepercayaan dan mandat jelas yang diberikan kerajaan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha pemulihan institusi negara.


Dalam lawatan rasmi pertama beliau ke Turkiye yang berlangsung dari 6 hingga 8 Januari itu, Anwar diiringi isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa menteri kanan Kabinet termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Menurut Anwar, usaha membanteras rasuah akan terus diperkukuh kerana ia menjadi asas penting dalam membina negara yang berintegriti, diyakini pelabur serta dihormati di peringkat antarabangsa.

Artikel Berkaitan