ISTANBUL: Malaysia dan Turkiye disaran memanfaatkan kelebihan masing-masing sebagai hab serantau bagi memperkukuh aliran perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri antara Asia dan Eropah, selari dengan landskap ekonomi global yang semakin saling bergantung.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berpotensi menjadi pintu masuk utama syarikat Turkiye ke pasaran Asia, manakala Turkiye pula boleh berperanan sebagai hab Malaysia ke Eropah, Asia Barat dan negara jirannya.
Menurut beliau, pendekatan “hab ke hab” itu bukan sekadar gagasan diplomatik, sebaliknya berpaksikan kekuatan geografi, sejarah hubungan dua hala serta keserasian strategik yang dimiliki kedua-dua negara.
“Dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, eksport Malaysia ke Amerika Syarikat sahaja telah melebihi AS$30 bilion, satu pencapaian besar bagi sebuah negara membangun,” katanya ketika berucap pada sesi meja bulat bersama pemain industri Turkiye dan Malaysia di Istanbul.
Anwar berkata, pada masa sama Malaysia turut menerima pelaburan berskala besar dari China, namun negara kekal konsisten mengekalkan keseimbangan hubungan antarabangsa tanpa terikat kepada mana-mana blok geopolitik.
Beliau menegaskan, pendekatan itu memberikan kelebihan strategik kepada pelabur Turkiye untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan utama operasi ke rantau Asia, melalui kerjasama rapat dengan syarikat tempatan.
Perdana Menteri berkata, Malaysia kini muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang semikonduktor, E&E, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, sekali gus menyediakan ekosistem industri yang matang dan berdaya saing.
Dalam masa sama, Turkiye pula dilihat semakin kukuh dalam sektor pertahanan, pembinaan dan pembuatan bernilai tinggi, menjadikan negara itu rakan strategik penting bagi Malaysia untuk menembusi pasaran Eropah dan sekitarnya.
Menurut Anwar, kestabilan politik serta hubungan baik Malaysia dengan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap daya tahan dan kebolehpercayaan ekonomi negara.
Beliau berkata, keupayaan Malaysia mengekalkan dasar luar yang bebas dan seimbang memberi ruang fleksibiliti serta kelebihan kompetitif kepada rakan pelabur, termasuk dari Turkiye.
Anwar dalam lawatan rasmi pertamanya ke Turkiye sebagai Perdana Menteri, bermula 6 Januari lalu, yang memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dua hala.
Beliau merumuskan bahawa kerjasama strategik Malaysia–Turkiye sebagai hab serantau diyakini mampu membuka peluang baharu dan meningkatkan nilai perdagangan serta pelaburan rentas benua dalam jangka panjang.