Wednesday, 14, January, 2026
Utama NasionalMalaysia komited sertai Global Sumud Flotilla 2.0 bantu Gaza

Malaysia komited sertai Global Sumud Flotilla 2.0 bantu Gaza

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menggerakkan sepenuh keupayaan negara bagi membantu rakyat Palestin dan memperjuangkan hak mereka selaras prinsip keadilan sejagat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Menurut beliau, komitmen itu dizahirkan susulan pertemuan bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM, Datuk Sani Araby serta Pengasas Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri di Perdana Putra.


Anwar berkata, dalam pertemuan tersebut beliau dimaklumkan mengenai keadaan kemanusiaan di Gaza yang semakin kritikal, termasuk sekatan bantuan yang berlarutan, ketidaktentuan konflik serta penderitaan berpanjangan dialami rakyat Palestin.


“Kerajaan MADANI akan terlibat secara langsung dalam misi ini sebagai kesinambungan perjuangan moral di peringkat antarabangsa, yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira sempadan, bangsa atau agama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Beliau turut dimaklumkan mengenai kejayaan Misi Sumud Nusantara sebelum ini yang berjaya menarik perhatian dunia antarabangsa dan mengangkat isu Gaza ke peringkat global.


“Saudara Sani dan Nadir berkongsi bagaimana misi terdahulu berjaya memecahkan kebisuan masyarakat dunia serta membawa suara rakyat Gaza ke pentas antarabangsa,” katanya.


Anwar berkata, perbincangan turut menumpukan kepada perancangan misi kemanusiaan seterusnya, termasuk penglibatan aktif Malaysia dalam Global Sumud Flotilla 2.0 yang dijangka disertai lebih 80 negara sebagai usaha bersepadu menyalurkan bantuan dan sokongan kepada Palestin.

Artikel Berkaitan