KUALA LUMPUR – Seorang penulis blog, Murray Victor Hunter, telah menarik balik sepenuhnya beberapa artikel yang mengandungi dakwaan tidak benar serta mengemukakan permohonan maaf selepas mencapai penyelesaian dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Hunter, warganegara Australia yang menetap di Thailand, mengakui kandungan yang diterbitkannya mengenai MCMC dan kakitangannya adalah tidak tepat, mengelirukan serta telah menimbulkan salah faham dalam kalangan pembaca.
Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan bahawa perbincangan bersama MCMC telah membawa kepada satu Perjanjian Penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak, sekali gus menyaksikan semua artikel dan komen berkaitan ditarik balik sepenuhnya.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dan memohon maaf sekiranya penerbitan artikel berkenaan telah menyebabkan sebarang kemudaratan atau kerugian kepada MCMC serta pihak berkaitan.
Artikel yang dipersoalkan itu diterbitkan antara April hingga November 2024 melalui beberapa platform dalam talian termasuk Substack, Eurasia Review dan X, yang mengandungi dakwaan terhadap MCMC.
Penyelesaian tersebut dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Oktober 2025 yang memutuskan bahawa Hunter bertanggungjawab atas fitnah, selain menegaskan kebebasan bersuara perlu diamalkan secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta.
Sebelum ini, MCMC memaklumkan bahawa keputusan mahkamah berkenaan menjadi peringatan penting bahawa hak bersuara tidak boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kenyataan palsu atau berniat jahat yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak.
Difahamkan, laporan polis turut dibuat di Malaysia dan Thailand berkaitan penerbitan artikel terbabit, manakala satu lagi tindakan saman masih berjalan selepas dokumen tuntutan diserahkan kepada Hunter di Thailand.