Wednesday, 14, January, 2026
Utama NasionalPM arah sistem pintu masuk negara diperkukuh, elak gangguan berulang

PM arah sistem pintu masuk negara diperkukuh, elak gangguan berulang

oleh Ammar Haziq


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya sebarang gangguan teknikal yang menjejaskan kelancaran di pintu masuk negara tidak berulang, susulan insiden di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor baru-baru ini.


Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, arahan itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu mesyuarat koordinasi khas berkaitan insiden berkenaan.


Menurutnya, penekanan serius diberikan kerana gangguan tersebut telah menimbulkan kesulitan besar kepada pengguna pintu masuk negara dan mencetuskan kebimbangan Perdana Menteri.


“Beliau (Menteri Dalam Negeri) menegaskan bahawa apa yang berlaku telah mendorong Perdana Menteri mengarahkan supaya insiden seumpama ini tidak berulang di mana-mana pintu masuk negara,” katanya.


Sehubungan itu, Mohd Shuhaily berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua komander AKPS, khususnya di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), supaya memantau sistem kemasukan dengan lebih rapi dan melaporkan lebih awal sekiranya terdapat tanda-tanda kegagalan sistem.


“Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, saya sendiri mengarahkan semua komander agar memaklumkan ibu pejabat lebih awal sekiranya sistem tidak berfungsi dengan baik bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.


Beliau berkata, sekiranya berlaku kegagalan sistem, tindakan pantas perlu diambil termasuk melaksanakan proses secara manual dan menambah petugas di kaunter bagi memastikan pergerakan keluar masuk pengembara berjalan lancar.


Sebelum ini, media melaporkan puluhan ribu warga asing terkandas dan terpaksa beratur panjang di pintu masuk darat Malaysia–Singapura selepas kebanyakan pintu automatik imigresen tidak berfungsi akibat gangguan teknikal, dengan implikasi utama melibatkan pemegang pasport asing.

Artikel Berkaitan