KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI komited memastikan kebebasan berkarya dalam kalangan penggiat seni terus dipelihara bagi membolehkan penghasilan karya yang berani, berkualiti dan memberi makna kepada masyarakat serta negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang keterbukaan itu penting bagi merangsang pertumbuhan industri kreatif tempatan selain memperkukuh peranan seni sebagai medium menyampaikan mesej sosial dan nilai integriti.
“Kebebasan berkarya perlu terus dijamin supaya penggiat seni dapat menghasilkan karya yang lebih segar, berani dan relevan dengan realiti masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi Eksekutif Skop Productions, Datuk Yusof Haslam yang juga pengarah serta penerbit terkenal negara, bagi membincangkan hala tuju dan cabaran industri perfileman tempatan.
Menurut Anwar, pertemuan itu turut menyentuh beberapa isu penting termasuk cukai hiburan yang dibangkitkan oleh penggiat industri dan akan diteliti secara lanjut bersama kerajaan negeri.
“Kerajaan menghargai pandangan dan sumbangan penggiat seni dalam memperkasa industri kreatif negara, selari dengan semangat keterbukaan dan kebebasan bersuara yang dijunjung,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap filem Sheriff: Narko Integriti yang disifatkan berani mengetengahkan isu rasuah dan integriti, sekali gus mencerminkan peranan seni sebagai wadah kesedaran masyarakat.
Dalam masa sama, Anwar berkata sokongan berterusan penggiat seni amat penting bagi memastikan industri kreatif tempatan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing.