KUALA LUMPUR: Siasatan segera dan menyeluruh perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian letupan gas penyaman udara di Universiti HELP di sini, Isnin lalu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan aspek keselamatan semua pihak terjamin serta kejadian sama tidak berulang.
“Siasatan mesti dilakukan dengan segera dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini demi keselamatan semua,” katanya menerusi catatan di media sosial X.
Dalam masa sama, Anwar menzahirkan doa agar mangsa yang cedera, Reeya Kaur Thandal, diberikan kesembuhan dan kekuatan sepanjang menjalani rawatan.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan yang meninggal dunia akibat insiden berkenaan.
“Takziah kepada keluarga mendiang Soo Yu Juan atas pemergian anak tersayang dalam insiden ini. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Soo, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta itu kira-kira jam 11.40 pagi.
Mangsa merupakan pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).